people

Bersih yang Haram

Bersih 3.0 haram?

Siang tadi ada fatwa yang dikeluarkan, kononnya demonstrasi Bersih itu haram. Kalau dibaca dari artikel yang diterbitkan Malaysiakini, Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Professor Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin berkata:- 

"Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.


"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah,".

Ya, betul, aku setuju. Sebab yang mengacaubilaukan keadaan hari itu, mendatangkan kemudaratan hingga berpuluh-puluh orang dimasukkan ke hospital, melepaskan gas pemedih mata hingga kanak-kanak dan orang tua jatuh sakit dan lari bertempiaran ialah pihak penguatkuasa, bukan peserta demonstrasi. Maka haramlah perbuatan penguatkuasa tersebut. Kena bertaubat. 

Dan Bersih BUKAN berniat untuk menjatuhkan negara, ia menuntut pilihanraya yang telus. Jadi samada Professor tersebut tidak tahu hujung pangkal atau beliau tersalah demo. Wallahualam.

Yang aku tahu, aku ialah salah seorang peserta demo yang hadir dengan ceria, duduk bantah mengikut peraturan, tidak merusuh, tidak melepasi penghadang yang dibina polis, sehinggalah pukul 3.30 petang bila penguatkuasa yang zalim dan haram itu melepaskan gas pemedih mata dan seterusnya mula memukul orang-orang awam- terus angin aku jadi tak baik.

Haram jadah.


Duduk bantah dengan ceria

Gerakan 'Save Jalan Sultan' juga menyokong Bersih 

Kawan-kawan yang menambahkan keceriaan

Berjalan bersama, bergelak ketawa berbilang kaum dan agama

OrangGilak sempat berposing sebelum disembur gas pemedih mata

Seorang rakan peguam yang teruk dibelasah kira-kira 5 orang polis


Saya RT jer... (Iklan)

Aku pantang betul bila encik ehem lebih layan Twitter daripada aweknya yang kiut ni. Makan baca Twitter, dalam wayang baca Twitter, depan lampu merah trafik pun baca Twitter.

Mentang-mentanglah Twitter ni senang diurus. Taip dan tekan 'tweet'. Bila rasa dah salah taip, padam. Sebab tu ada orang yang mampu berkicau hampir sepanjang hari. Tak faham aku.. mereka ni takde kerja lain ke?

Oleh sebab Twitter senang ditaip dan senang pula dipadam, makin ramailah orang yang menaip tak sayang jari. Bila dah rasa menyesal, padam. Lepas tu bila ada orang lain sempat 'print screen' apa yang kau dah padam tadi dan sebarkan, padan muka.

Artikel ini aku tulis sekadar untuk bagi peringatan saja, dan juga untuk beri sedikit pendedahan tentang undang-undang yang melibatkan Twitter secara tak langsung. Baru dimuat naik siang tadi.

Selamat malam!

Bantuan Guaman dan Peranan Kerajaan

Sila klik sini.

Bunohan


Baru-baru ini Orang Gilak menghadiri tayangan perdana filem Bunohan (cara sebut: bu no he). Orang Gilak dah lama dah tunggu filem ni. Niat tu makin kuat bila kawan-kawan yang berlakon filem tu pun tak sabar-sabar nak tunggu filem tu ditayangkan di negara sendiri. Sebelum ini filem Bunohan telah ditayangkan di festival-festival luar negara di Toronto, Taipei, Amerika Latin dan Eropah.

Apa itu Bunohan? Bunohan tu sebenarnya nama sebuah kampung di Kelantan. Ya, tempat tu memang wujud. Kalau anda rajin meng-google, macam-macam versi asal-usul nama Bunohan yang korang boleh jumpa. Tapi yang paling banyak diperkatakan ialah perihal terjadinya banyak kejadian pembunuhan di kampung tersebut ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu, dan oleh sebab itu kampung tersebut digelar Bunohan.

Dialog-dialog di dalam filem Bunohan di dalam dialek Kelantan. Tapi jangan bimbang, ada sarikata bahasa Malaysia dan Inggeris untuk warganegara bukan Kelantan. Agak menarik bila Ho Yuhang mampu fasih berbahasa Kelantan. Selain daripada beliau, lakonan Jimmy Lor juga agak mengesankan sebagai seorang nelayan Cina di Kelantan. Agak sedih juga bila memikirkan bahawa jika ini bukan filem berlatarbelakangkan Kelantan, watak yang dipegang Ho Yuhang dan Jimmy Lor mungkin samada akan berbahasa Manglish atau Melayu ke-apek-apek-an.

3 watak utama di dalam Bunohan ialah adik-beradik berlainan ibu. Mereka ialah Ilham (Faizal Hussein), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Adil (Zahiril Adzim). Watak-watak utama filem ini juga diperkenalkan secara tidak langsung oleh watak-watak tanpa nama di awal filem ini secara menyebut nama pelakon yang muncul di kaca televisyen sebuah warung kopi. Selepas bertahun-tahun tidak berjumpa (dan ada yang belum pernah berjumpa), ketiga-tiga mereka pulang ke Bunohan pada masa yang hampir sama tanpa berjanji. Ilham, seorang pembunuh upahan pulang untuk mencari Bunga Lalang yang khabarnya lari menyembunyikan diri di Bunohan. Bakar yang sudah lama menetap di Kuala Lumpur pulang untuk memujuk bapanya supaya menjual tanah di kampung kepada pemaju, manakala Adil seorang peninju tomoi lari bersembunyi selepas enggan meneruskan perlawanan tomoi 'lawan sampai mati' yang terpaksa disertainya kerana berhutang.

Filem ini mengajak kita supaya tidak melihat manusia dari dasarnya sahaja- contohnya watak Ilham seorang pembunuh upahan, bila sedang 'berkerja' sangatlah tidak beremosi. Tapi, sekembalinya ke Bunohan, banyak betul sisi-sisi romantis Ilham yang boleh dilihat. Dia marah bila dapat tahu kubur arwah ibunya dialihkan ke tempat lain dan telah mengambil masa berhari-hari untuk meletakkannya semula ke tempat asal. Ilham juga sangat sayangkan darah dagingnya sendiri- tapi dengan caranya yang tersendirilah. Dalam masa yang sama, dia tidak lupa dengan etika dan peraturan sebagai seorang pembunuh upahan. Watak Bakar pula nampak baik dari segi rupa- mat belia, pakai spek baju semat ke dalam, cikgu pula. Tapi Bakar sangat tamak dan licik hingga sanggup mengkhianati keluarganya sendiri.


Ilham selepas membunuh orang

Adil seorang peninju tomoi adik paling bongsu, lari dari kampung sebab merajuk dan terasa kurang dapat kasih sayang dari keluarga. Bila berjumpa dengan bapanya selepas 5 tahun, hal itu juga yang diungkit. Antara babak filem Bunohan yang Orang Gilak paling suka ialah bila Adil bertinju dengan Muski (Amerul Affendi) kawan baiknya sendiri. Dua-dua berlawan dengan bersungguh-sungguh dengan agenda masing-masing, sampai Orang Gilak tak tahu nak sokong yang mana satu sebab kedua-duanya ada sebab yang baik walaupun dengan cara yang salah.


Muski membantu Adil melarikan diri

Bunohan juga ada unsur-unsur mistik, yang mana terdapat elemen semangat Main Puteri dan Wayang Kulit. Bapa 3 beradik tersebut, Pak Eng merupakan bekas Tok Dalang yang handal di kawasan tersebut tetapi kaki perempuan. Walaupun tidak lagi aktif bermain wayang kulit, Pak Eng masih mempunyai 'ilmu' yang kemudiannya diturunkan kepada Adik, iaitu anak lelaki jirannya. Arwah ibu Ilham (lakonan Tengku Azura) dikatakan sebagai pawang wanita handal di Bunohan. Ilham sangat sayang dan arif dengan rahsia ibunya. Dia amat yakin yang ibunya akan 'kembali'. Tapi maaflah, Orang Gilak rasa Tengku Azura lakonannya kurang berkesan walaupun tanpa dialog. Kecualilah kalau memang 'semangat' yang muncul dari dalam air akan berjalan secara 'catwalk' ke daratan?

Filem ini juga menampakkan kekurangan yang mungkin disengajakan. Pertama, kurangnya pelakon wanita. Atau lebih tepat lagi memang tak ada pelakon wanita pun di dalam Bunohan kecuali Tengku Azura. Kat warung kopi tak ada, kat tepi pantai tak ada, kat gelanggang tinju apatah lagi? Mungkin semua perempuan Bunohan hanya duduk di rumah sahaja, sebab tu di dalam beberapa babak ada dengar 'suara'. Kalau nak dibaca secara mendalam mungkin kerana wanita Kelantan keluar berniaga di siang hari tatkala kaum lelaki melepak di kedai kopi. Atau mungkin pembikin filem Bunohan cuba menonjolkan sistem sosial 'patriarchy' yang sememangnya wujud di dalam masyarakat kita. Tapi kalau nak dibaca dengan lebih mendalam lagi, mungkin sebab diorang tak ada bajet.

Kedua, tak ada pihak berkuasa langsung. Orang mati disangka dibaham buaya dan cerita senyap begitu sahaja- bukan kena buat autopsi ke? Dan punyalah banyak gelanggang tinju haram- polis makan rasuah kot? Atau ia sepatutnya sesuatu yang melegakan? Segala-galanya diselesaikan sendiri- tidak perlu polis, kastam hatta ketua kampung sekalipun. Bunohan ialah sebuah negara anarki tanpa pemerintah, atau Bunohan ialah sebuah republik. Yang penting hanya wang. Itupon hanya segelintir yang tunduk. Selainnya sudah selesa dengan hidup yang santai dan lewa.

Memandangkan 'kekurangan-kekurangan' di atas, Orang Gilak rasa agak mengesankan jugalah bila tiba-tiba pembikin filem Bunohan boleh 'teringat' pada ahli-ahli politik? Politisi perlukan audiens (innuendo watak Pak Wah lakonan Nam Ron), perumpamaan licik macam politisi dan sebagainya. Tapi dua permainan budaya yang penting di dalam Bunohan iaitu wayang kulit dan main puteri bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh politisi pemerintah Bunohan di alam realiti. Malah sukan tinju tomoi juga pernah diharamkan disebabkan tarian berunsur pemujaan di awal perlawanan, sebelum dibenarkan semula pada 2010 dengan peraturan pakaian menutup aurat bagi orang laki-laki. Orang Gilak juga rasa agak menarik apabila 2 orang pakcik yang baru balik dari surau berbual tentang Main Puteri dan mengeluh kerana kampung mereka sudah kepupusan pawang.

Orang Gilak gembira kerana berpeluang menonton filem karya tempatan yang bagus seperti ini. Orang Gilak juga tumpang gembira para pelakon yang akhirnya berpeluang menonjolkan bakat sebenar dengan adanya filem yang mempunyai jalan cerita dan skrip yang kuat. Tahniah juga kepada pengarahnya Dain Said dan para pelakon pembantu seperti Sofi Jikan dan Bront Palarae yang tidak mengecewakan.

Jadi kepada kawan-kawan yang membaca blog ini, Orang Gilak sarankan supaya anda semua menonton filem ini di pawagam bermula 8 Mac 2012. Beli tiket dan tonton di pawagam. Berbaloi. Jangan beli dvd yang cetak rompak, tak nampak nanti. Serius.

Orang Gilak letak di sini sedutan filem Bunohan sebagai pembuka selera:-



Barisan pelakon dan pengarah ketika sidang akhbar

Seksaited

Cliche sungguh menulis tentang kekasih pada 14 Februari, kan?

Selalunya, orang-orang yang teruja untuk menyambut Hari Kekasih ni ialah orang-orang yang baru bercinta. Ye lah baru ada pacar, mestilah nak kena tunjuk satu dunia. Orang-orang tua (bukan aku) 'feel'nya lain sikit. Kalau pasangan tak suruh atau ingatkan, lebih baik buat-buat lupa. Penat kot nak fikir makan kat mana, beli bunga apa, kad berapa ringgit, nak pakai baju sama kaler ke tak etc etc.

Jadi berbanding tahun-tahun yang lepas yang mana perangai aku adalah seperti di atas, waktu siang tadi aku lebih banyak luangkan masa (selain kerja) melihat ragam kawan-kawan yang lain. Yang lebih terkehadapan seperti Izmil Amri akan menulis artikel di laman berita sebuah parti politik untuk meluahkan rasa benci (baca: dengki)nya terhadap Hari Kekasih. "Benci aku pada Februari ini seakan benci PKR kepada UMNO", katanya. Tukar Tiub pula macam biasa, lebih suka gelakkan orang lain daripada dirinya sendiri. Yang lebih gagal daripada gagalis pula akan berpura-pura menyahut seruan PAS supaya tidak menyambut Hari Kekasih walaupun mereka sebenarnya bukanlah alim sangat. "Masjid pun tak penuh", bak kata Black.

Aku sengaja keluar makan malam tadi dengan 2 orang gagalis dan bukan dengan si ahem. Konon untuk menentang arus. Saja nak merasa sambut Hari Kekasih gaya 'rebel'. Makan pun di restoran yang punya sejarah keluar dari restoran lain dan buka sendiri punya. Tapi belum pun panas punggung, pakcik Ed sudah tanya apa definisi cinta dalam kamus hidup aku. Lepas diterang, katanya itu bukan cinta. Aku hanya berilusi konon dilamun cinta. Aku biarkan saja tanda hormat dengan mentor.

Pada aku, Hari Kekasih pada hari ini tidak lebih dari hari-hari keraian cinta lain seperti Hari Ibu dan Hari Bapa. Ia dipromosi dan dimainkan secara besar-besaran oleh kapitalis untuk mengaut keuntungan daripada orang yang punya cinta untuk dirai. Tidak ada tanda salib dan tidak ada penjual bunga yang datang dalam bentuk santa atau paderi. Pendek kata, ia tidak ada timbangan keagamaan langsung untuk dirisaukan. Jadi kalau kau ada duit lebih untuk belanja kekasih, belanja sajalah. Tak ada siapa suruh kau kenang hikayat dan riwayat hidup Santa Valentino yang kononnya mati bunuh diri itu. Malah, agak bodoh bila kau kata apa yang kau kata tentang Hari Kekasih dan seks bebas itu. Tak berkait langsung. Dan zaman ini tidak ada orang yang menangis mengenangkan santa yang punya kisah cinta tragis. Hero Nur Kasih lebih kacak kot.

Siang tadi aku dengar kononnya di dalam operasi anti-Hari Kekasih di Selangor, mereka telah berjaya menangkap beberapa pasangan di hotel-hotel murah sedang ber'tut-tut' sempena Hari Kekasih. Aku gelak sampai terbatuk-batuk. Bersungguh-sungguh benar mereka dalam perkara seperti ini. Wang rakyat yang diguna oleh pegawai kerajaan untuk bayar fi guaman, kau biarkan saja, ya?

Lantak kau orang lah.

Hope2Walk- Hidup Mesti Terus






Kenal dengan dua orang kanak-kanak di atas ini? Mereka ialah anak-anak Kak Sham (Raja Rohaisham) bersama kartunis Ronasina aka KulupSakah aka Fandi yang banyak melukis untuk Merdekareview sekarang. An-nur dan An-Nisa mengalami Cerebral Palsy (lumpuh otak), Mitchondrial Disease dan Global Developmental Delay. Aku agak rapat dengan keluarga ini walaupun Ronasina pernah sabotaj aku dengan melukis aku berleher besar.





Meraikan harijadi Kak Sham.

Sejak beberapa bulan yang lalu, keluarga ini telah melancarkan kempen Hope2Walk untuk An-Nur dan An-Nisa. Kempen ini bertujuan untuk mendapatkan dana bagi perbelanjaan perubatan An-Nur dan An-Nisa di Beijing menjalani rawatan, latihan fisioterapi dan program pemulihan yang intensif sebelum meneruskan program rawatan dan persekolahan khas Cerebral Palsy di United Kingdom. Jumlah wang yang disasarkan ialah sekurang-kurangnya RM500 ribu dikutip pada Februari 2012. Untuk maklumat lanjut kempen ini, sila klik di sini.

Pelbagai cara telah dilakukan untuk menjayakan kempen Hope2Walk, termasuklah membuat rayuan dan permohonan melalui kaca tv.

Walaubagaimanpun, Tuhan lebih sayangkan kanak-kanak ini. Di tengah-tengah kerancakkan kempen Hope2Walk, pada 22 Disember 2011, An-Nisa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika usianya baru 10 tahun kira-kira pukul 9:30 pagi, padahal arwah dan adiknya baru saja muncul di kaca tv pada pagi tersebut.

Berbekalkan baki semangat yang masih ada, keluarga, kawan-kawan dan para sukarelawan Hope2Walk meneruskan kempen ini untuk An-Nur. Kempen ini sudah hampir tiba di penghujungnya kerana An-Nur sekeluarga akan berangkat ke Beijing pada pertengahan Februari ini. Bukan kerana wang sudah cukup, tetapi rawatan tidak boleh ditangguh lagi melihat pada keadaan struktur tulang An-Nur yang dikhuatiri akan membahayakan organ-organ dalamannya.

Esok, Hope2Walk akan mengadakan satu acara jualan sambil menderma di Muzium Negara sepanjang siang. Sila rujuk pada poster di bawah untuk butir-butir acara. Aku juga akan berada di sana, jadi tukang angkut barang.



Sekiranya ada yang tidak boleh datang acara di atas, anda masih boleh menghulurkan sumbangan melalui nombor akaun yang tertera di bawah:



Jumpa di sana :)


Annisa 8 Feb 2001-22 Disember 2011

Jangan Jadi Pembenci

Sejak akhir-akhir ini negara kita telah dilanda oleh sebuah penyakit yang berbahaya. Penyakit ini, jika tidak dibendung, dijangka akan merebak dengan cepat dan memusnahkan sel-sel logik dan rasional di dalam otak kita. Kepantasan pemerebakan ini semakin menjadi-jadi dengan campur tangan dan dorongan daripada parti-parti politik, samada parti politik kiri dan kanan.

Penyakit ini namanya kebencian.

Benci terhadap etnik lain.
Benci terhadap agama lain.
Benci terhadap bangsa lain.
Benci terhadap gender lain.
Benci terhadap jantina lain.
Benci terhadap orang yang mempunyai pandangan lain.
Benci terhadap ideologi orang lain.

Benci, benci dan benci.

Orang yang membawa virus kebencian ini dirujuk sebagai pembenci. Bagaimana hendak mengesan simpton pembenci?

Pertama, pembenci memulakan hujah dengan menuding jari. Sebelum mencari-cari dalil, mereka akan terlebih dahulu menghukum dan memberi label.

Kedua, pembenci biasanya merupakan orang yang mempunyai pengetahuan yang terhad. Mereka tidak ada masa untuk membaca. Atau mungkin mereka malas membaca. Makanya mereka akan sering tersilap fakta. Malah, nama orang yang mereka benci juga mereka tidak boleh sebut dengan betul. Pembenci jenis ini, selain daripada individu dan parti politik, mereka juga boleh didapati dalam bentuk media massa.

Ketiga, pembenci hanya menggunakan ruang demokrasi untuk diri mereka sendiri dan bukannya untuk rakyat jelata. Contohnya, mereka akan menggunakan hak mereka untuk berhimpun untuk menyuarakan kebencian mereka terhadap hak asasi golongan yang lain.

Keempat, pembenci akan mula menyerang peribadi orang-orang yang berbeza pendapat dengan mereka tanpa berdebat secara rasional. Mereka akan mudah naik darah dan menggunakan kata-kata kesat.

Adakah anda mempunyai simpton-simpton yang dinyatakan di atas? Bagaimana untuk mengubatinya?